8.10.10

Peruntukan pendidikan vokasional

Muhyiddin tak puas hati cadangan dalam Bajet 2011

SYDNEY: Permohonan jumlah peruntukan bagi pendidikan vokasional dalam Bajet 2011 perlu ditambah selaras dengan usaha kerajaan untuk mengarusperdanakan pendidikan vokasional di Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak berpuas hati dengan jumlah peruntukan yang dikemukakan oleh Kementerian Pelajaran dalam cadangan bajet bagi kementerian itu.

“Saya sudah diberi taklimat mengenai apa yang kita rancangkan bagi tempoh dua tahun (program menstruktur semula pendidikan vokasional) mengikut bajet yang dicadangkan.

“Namun, saya sudah mengarahkan supaya perubahan besar dibuat. Saya tidak berapa gembira dengan cara bajet (bagi sektor pendidikan vokasional dicadangkan) kerana jumlah itu nampaknya tidak memadai,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas melawat institusi pendidikan teknikal dan vokasional terulung di Australia, TAFE NSW, Northern Sydney Institute di kampus Ultimo, Mary Ann St, di sini, semalam.

Turut hadir dalam lawatan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung dan Pengarah TAFE NSW, Northern Sydney Institute, David Riordan.
Timbalan Perdana Menteri dalam rangka lawatan lima hari ke bandar raya ini dan Melbourne. TAFE NSW menawarkan lebih 800 kursus teknikal dan kemahiran dengan purata kemasukan lebih 76,000 pelajar setahun.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, strategi dalam pelan transformasi pendidikan vokasional perlu segera digerakkan kerana keadaan ketika ini dianggap kritikal.

“Saya sedang menunggu laporan komprehensif dari Bahagian Teknikal dan Vokasional kementerian yang dijangka siap bulan depan. Sebaik diteliti, kita akan melihat di mana pencapaian kita sekarang dan langkah susulan yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata, antara aspek yang dikaji termasuk meningkatkan kerjasama antara sektor swasta dan industri dalam melahirkan pelatih yang diperlukan sektor perindustrian selain memulakan pengajian vokasional di peringkat sekolah rendah.

Mengenai lawatannya ke TAFE NSW, Northern Sydney Institute, Muhyiddin berkata, kerajaan berminat menjalinkan kerjasama dengan institusi kemahiran itu bagi melahirkan modal insan dinamik selain berkongsi kepakaran dalam pembangunan kurikulum dan sebagainya.

Sementara itu, Riordan berkata, pihaknya berminat menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelajaran termasuk mengenal pasti model berkesan yang boleh diikuti Malaysia dalam menstruktur semula pendidikan vokasional di negara ini.

sumber: Berita Harian

No comments: