18.6.10

40,506 ditawar tempat pengajian IPTA

PUTRAJAYA 17 Jun – Seramai 40,506 daripada 61,228 pemohon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi ditawarkan mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2010/2011.

Keputusan itu menunjukkan sebanyak 82.3 peratus daripada 49,234 pemohon yang mencapai kelayakan minimum diberi tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, daripada jumlah itu, 28,663 orang atau 70.7 peratus adalah bumiputera, 9,569 (23.6 peratus) calon Cina dan 2,304 (5.7 peratus) calon India serta lain-lain.

Menurutnya, seramai 22,967 (56.7 peratus) adalah calon aliran sains manakala 17,539 (43.3 peratus) merupakan calon sastera.

Kata beliau, keputusan permohonan kemasukan ke IPTA bagi program pengajian lepasan STPM dan setaraf boleh disemak mulai pukul 12 tengah hari esok (18 Jun) melalui laman web http://jpt.uum.edu.my, http://www.jpt.utm.my dan http://upu.mohe.gov.my.

Status keputusan permohonan kemasukan ke IPTA juga boleh disemak melalui hotline (03-88835858), helpline (03-88835848) atau sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 dengan menaip UPU RESULT diikuti nombor kad pengenalan.

Radin Umar berkata, semua IPTA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada calon yang berjaya mulai 19 Jun dan calon perlu mengesahkan penerimaan tawaran sebelum 24 Jun melalui laman web IPTA berkenaan.

Katanya, calon yang gagal menerima tawaran pula boleh mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-rayuan melalui http://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi diumumkan.

‘‘Keputusan pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat mengikut program pengajian di IPTA.

‘‘Jika tiada sebarang jawapan diterima dari IPTA sehingga 31 Julai 2010, maka rayuan mereka dianggap gagal,” katanya.

Beliau berkata, semua pemohon yang mendapat keputusan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 berjaya memasuki IPTA tetapi bukan semua daripada mereka ditawarkan pilihan pertama.

‘‘Keputusan tawaran juga bergantung kepada 10 peratus markah kokurikulum. Pemohon yang bagus mungkin tidak mendapat tawaran untuk kursus pilihan pertama mereka sekiranya mereka memohon kursus kompetitif di universiti yang terletak di Lembah Klang.

‘‘Terdapat 2,088 pemohon yang mendapat keputusan PNGK 4.00 dan 404 orang telah ditawarkan tempat di Universiti Sains Malaysia dan bakinya ke universiti lain,” katanya.

sumber: utusan malaysia-18.6.2010

No comments: